Ekonomi Pasaran Sosial dan Walter Eucken

24/10/2017
by ILHAM Books

(1)

Saya masih ingat, ketika Pak Khalid Jaafar memberi kata pengantar dalam buku terbitan IKD sempena sambutan 50 tahun ekonomi pasaran sosial, beliau menekankan bagaimana terpisahnya kita dengan idea di luar bahasa Inggeris - dalam kes ini kerana ekonomi pasaran sosial itu muncul dan berkembang di Jerman.

Beliau kemudian meminta saya membaca dan menulis sebuah buku bertajuk Ekonomi Pasaran Sosial: Alternatif untuk Malaysia? yang diterbitkan oleh IKD pada tahun 2011. Ia satu percubaan mentah yang saya akui masih banyak perlu dibaiki. Namun, melaluinya, saya terdedah dengan sejarah negara itu. Tambahan pula saya mempunyai kenalan daripada belahan politik berbeza di negara itu. Saya juga pernah mengikuti kursus asas bahasa Jerman. Meskipun sukar, ianya menarik. Cuma saya perlu lebih tekun untuk menguasainya.

Daripada seluruh pengalaman terkait dengan Jerman ini saya mula maklum tentang Walter Eucken. Beliau umumnya dianggap sebagai pengasas faham ekonomi pasaran sosial. Betapa berpengaruhnya idea ini, ia diambil sebagai idea teras oleh kesatuan Eropah.

(2)

Ketika berulang-alik ke Amerika (2015-2016), saya dapati buku Walter Eucken ada diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Saya membelinya di Amazon, dengan harga 90 dolar. Kemudian, saya berbincang dengan Konrad-Adenauer-Stiftung untuk menterjemah karya ini. Mereka bersetuju. Saya melakukannya sambil-sambil menyiapkan tiga jilid biografi Abraham Lincoln. Ia sebenarnya telah siap lebih awal, cuma kebenaran menerbitkannya daripada Springer mengambil masa yang agak lama.

(3)

Dalam pembacaan saya, Walter Eucken merupakan sosok yang unik. Selain daripada ahli ekonomi daripada Sekolah Freiburg, beliau turut sama dalam pertemuan pertama Mont Pelerin Society. Di sana, beliau berdebat dengan von Mises tentang ancaman terhadap pasaran bebas. Sementara von Mises cenderung melihat kerajaan sebagai ancaman utama, Eucken menegaskan bahawa ancaman juga boleh datang daripada pihak swasta. Ini, untuk saya, adalah imbangan penting dalam wacana ekonomi yang berkembang.

Meskipun berbeza pandangan, F. A. Hayek sangat menghormati Eucken, sehinggakan semasa Hayek mengajar di London School of Economics (LSE), beliau menjemput Eucken menyampaikan siri syarahan, namun sayang Eucken meninggal dunia sebelum dapat menyudahkan syarahannya yang terakhir. Menurut rekod, Hayek kemudiannya mengajar di Universiti Freiburg - tempat di mana Eucken pernah mengajar. Apa yang menarik di sana, pengajian ekonomi diajar bersama undang-undang.

(4)

Buku ini diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh T. W. Hutchinson, ahli ekonomi Amerika Syarikat, atas saranan Hayek sendiri. Meskipun tajuknya berbunyi asas, kandungannya bukanlah semudah Ekonomi 101.

Di dalam buku ini, saya dapati Eucken menjelaskan garis pandangan berbeza yang diambil oleh beliau tatkala menganalisa benturan pertembungan antara sekolah sejarah (Historical School) dan pasaran bebas (Classical School).

Saya berharap akan berpeluang untuk menterjemah pula karya-karya Ludwig Erhard, menteri kewangan pertama Jerman Barat di bawah Canselor Konrad Adenauer. Karyanya lebih banyak dalam bahasa Inggeris, lebih bersifat penjelasan praktikal dan beliau sendiri sebenarnya sosok pendokong pasaran bebas yang 'diimport' oleh Konrad Adenauer bagi menyaingi pengaruh Parti Sosial Demokrat (SPD) dalam pilihan raya pertama mereka pasca perang dunia kedua.

Amin Ahmad

Penterjemah buku Asas-Asas Ekonomi karya agung Walter Eucken


Comments

No posts found

New post