Iqbal - Pemikir Rekonstruksi dan Pembaharuan Dalam Islam

05/11/2017
by ILHAM Books

Muhammad Iqbal lahir pada tahun 1877, di wilayah Punjab, kini Pakistan. Berketurunan daripada keluarga Brahmin-Kashmiri yang sangat dihormati, membolehkan Iqbal menerima mutu pendidikan yang cemerlang. Semenjak kecil, Iqbal dididik dengan pelbagai aspek keilmuan, termasuklah ilmu kefalsafahan dan syair Islam, ilmu linguistik bahasa, politik, penulisan sejarah, ilmu kalam dan teologi Islam.

Semasa hayatnya, Iqbal menyeru ke arah re-interpretasi semula ajaran agama untuk mewujudkan institusi politik dan sosial bersesuaian dengan respon dan tuntutan zaman. Beliau percaya dengan proses modenisasi Islam adalah keperluan tunggal ke arah kemajuan umat Islam. Pada cerminan yang lain, pemikiran yang dianjurkan Iqbal bersesuaian untuk memandu kesejahteraan umat Islam menghadapi cabaran kontemporari kala ini.

Iqbal beranggapan bahawa kesedaran golongan ulama’ yang mempertahankan konsep Ijtihad seperti Ibn Taymiyyah (1263 -1328) dan Shah Waliyullah ad-Dahlawi (1703-1762) membangkitkan keperluan untuk umat Islam sama-sama memimpin pembaharuan dan modenisasi di dalam lebenswelt atau dunia kehidupan mereka terhadap agama. Iqbal dipengaruhi pemikiran ulama seperti Muhammad ibn Ali Asy-Syaukani (1760-1839), ulama’ reformis yang menyeru ke arah Islah dan pembaikan kondisi masyarakat yang dibendung gejala taqlid. Malah, Iqbal mencabar doktrin penutupan pintu ijtihad dengan berseru:

Did the founders of our school ever claim finality for reasoning and interpretation? Never!!

Dalam ranah pemikiran agama dan falsafah yang moden, Iqbal memegang peranan sebagai pelopor penting dalam rekonstruksi pemikiran dan pembaharuan. Tanggapan Iqbal terhadap idea falsafah dan teologi religius yang dinamik dan cita-cita pembaharuan dan visi kebangunah ini mendasar. Keghairahan Iqbal terhadap pembangunan semula falsafah dan pemikiran agama mengerahkan upaya penting dalam merekonstruksi dan membangunkan semula fikiran dan ijtihad dan memikirkan semula tradisi.

Pandangan ini dilakarkan dalam The Reconstruction of Religious Thought in Islam dalam usahanya memperjuang dan menegakkan kekuatan akliah dan daya ijtihad. Kata Iqbal: “Penutupan pintu ijtihad adalah suatu rekaan yang sebahagiannya ditimbulkan daripada kebekuan pemikiran dalam Islam, dan sebahagiannya juga akibat daripada kelesuan intelektual yang terutamanya berlaku di zaman kebangkrutan spiritual; yang dengannya mengakibatkan para ulama’ yang agung dinobatkan sebagai berhala yang dipuja.”

Dengan membangunkan struktur asas yang penting dalam rangka pembaharuan Islam, Iqbal telah mengukir reputasi sebagai pembaru Islam kontemporer dalam sejarah moden, reformer dan intelektual, penyair dan pujangga besar yang telah mencetuskan nahdah budaya dan pemikiran dan katalis kepada karya-karya penting dalam pemikiran Islam. Karya terjemahan Muhammad Asad yang terpenting, Sahih al-Bukhārī: The Early Years of Islam, adalah diilhamkan dari idea Iqbal.

Dalam rangka membangun semula pemikiran agama, Iqbal menghasilkan The Reconstruction of Religious Thought in Islam yang membawa aspirasi penting ke arah perubahan dan rekonstruksi pemikiran di abad ke dua puluh. Dan dalam banyak penulisannya yang lain, Iqbal mengilhamkan pencerahan dan pembangunan fikiran yang konstruktif yang memperjuangkan kebangkitan dan ketinggian fikiran dan rekonstruksi ijtihad. Ia melakarkan pesan religius dan khittah yang jelas dalam menggerakkan kesedaran ke arah nahdah dan kemodenan. Mazhab pemikirannya membawakan aspirasi yang mendasar ke arah pemugaran fikiran dan ijtihad dan mengungkapkan cita-cita renaisans yang kental, dalam perjuangannya yang signifikan ke arah pemberdayaan tamadun dan budaya dalam peradaban moden.


Dr Ahmad Nabil Amir adalah sarjana PhD dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaysa merangkap Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.

Artikel ini diambil daripada blog Islamic Renaissance Front.

Comments

No posts found

New post