Akar Bangsa: Suatu Pemaknaan Hidup Bernegara

01/12/2019
by IB Balai ILHAM .

Bertahun-tahun saya menangguhkan penerbitan buku ini. Terasa seperti ‘menangguh kebenaran’ yang pernah dipuisikan oleh Baha Zain. Antara yang menghalang untuk diterbitkan kerana persoalan makna bernegara sentiasa berkembang dan mengalami perubahan. Dan saya terasa tertinggal dalam memahaminya. Ternyata pemikiran kita juga sebenarnya sukar dibendung dan diikat. Fikiran kita sentiasa liar mencari makna. Buku ini membincangkan proses pembinaan negara bangsa dari sudut kebudayaan dan sejarah. Kedua-dua aspek ini adalah antara unsur yang memberi makna kehidupan bernegara bagi masyarakat yang pelbagai kaum, agama dan wilayah.

Buku ini memfokuskan tentang bangsa Malaysia yang diilhamkan saat menjelang kemerdekaan negara. Buku ini ingin mengajak pembaca untuk memahami istilah kemerdekaan, bahasa, sejarah, seni, tradisi dan sebagainya dalam memahami makna bernegara.

Memahami makna adalah proses intelektual. Kekacauan, pertelingkahan dan salah faham berpunca dari kegagalan memahami makna sesuatu mauduk. Apatah lagi, jika mauduk itu adalah mauduk kehidupan bernegara seperti Malaysia. Perkara tersebut ditambah lagi dengan hilangnya rasa hormat pada usaha pencarian makna, pemaksaan makna dan pelacuran makna demi kuasa.

Asal penulisan buku ini adalah artikel-artikel yang diterbitkan di dalam kolum penulis di akhbar online Malaysiakini dan akhbar Harakah sejak beberapa tahun lalu. Terdapat juga beberapa tulisan yang belum diterbitkan lagi. Oleh kerana ia suatu penulisan yang berperingkat-peringkat, mungkin terdapat lompangan dari satu artikel dengan artikel lain.

Buku ini mengandungi tiga bahagian. Bahagian pertama berkisar soal budaya, kebudayaan dan kelompok budayawan yang membentuk rupa wajah bangsa. Dari lirik lagu, novel, filem hingga puisi sang pujangga, penulis merakamkan peri pentingnya peranan sang budayawan dalam membina citra negara bangsa. Ia juga membicarakan persoalan hubungan kuasa dengan budaya, penguasa dengan budayawan dan politik dan acara kebudayaan.

Bahagian kedua adalah himpunan tulisan yang membincangkan rupa wajah jiwa bangsa dalam konteks kebudayaan. Meskipun persoalan kebudayaan tidak dibincangkan secara mendalam tetapi beberapa perbincangan dalam bahagian ini menyentuh pemikiran para karyawan dan budayawan dalam mengungkapkan realiti kehidupan melalui karya mereka. Ini termasuk karya dan cerita tentang Hamka, Seniman Agung, P. Ramlee, Kasim Ahmad, A. Samad Said dan sebagainya.

Bahagian tiga adalah tulisan berbentuk sejarah. Memulakan perbincangan dengan sejarah kewujudan nama negara merdeka ini sebagai Malaysia. Sejarah pemilihan nama negara merdeka mempunyai signifikan yang akrab pada falsafah negara itu terbentuk. Kejatuhan kerajaan Melayu Melaka dan bermulanya era penjajahan yang memakan lima ratus tahun adalah tragedi bangsa. Akar bangsa hampir tercabut, terlerai dari akar umbi yang terbenam secara bawah sedar. Pensejarahan nasional yang meminggirkan golongan kiri melalui sejarah Mat Indera adalah satu contoh yang dikemukakan.

Permasalahan minda terjajah, terperangkap krisis identiti kaum dan tersasar dari falsafah negara akan gagal mengangkat citra bangsa. Tambahan pula di tengah-tengah persaingan membentuk pensejarahan yang nasional, makna bernegara bersimpang siur. Dalam keragaman etnik, agama dan wilayah, masing-masing kelompok cuba memahami makna hidup bernegara dengan cara yang berbeza.

Pada akhirnya, hasrat saya bergantung sejauhmana pembaca buku ini berwacana dengan naratif sama ke tengah-tengah lembah masyarakat. Ini kerana masyarakat adalah kekunci utama dalam memahami makna hidup bernegara.

Selamat membaca.

Muhaimin Sulam

Sungai Perak

2019/1440H

----

Untuk dapatkan buku ini, lihat di sini.