Mencari Identiti

26/07/2020
by IB Balai ILHAM .


Sewaktu saya mula menulis buku ini umur saya sudah menjangkau awal 60-an. Pada usia seperti itu ramai orang dalam masyarakat timur beranggapan segala-galanya sudah selesai. Nama sudah tercatat dalam senarai orang bersara. Keilmuan sudah mencapai tahap statik. Pemikiran sudah benar-benar konservatif dan sangat sukar untuk berubah. Ringkasnya, pada usia seperti itu perjalanan hidup dianggap sudah sampai ke penghujungnya

Namun saya sendiri belum merasakan seperti itu. Dari segi umur dan kerjaya, betul saya telah pencen dari kerja asal sebagai profesor di Universiti Malaya pada umur rasmi 56 tahun sejak tahun 2004 lagi. Itu pun kerana kad pengenalan saya dua tahun lebih muda dari umur hakiki. Kalau tidak saya sudah pun pencen dari kerja asal saya sejak tahun 2002 lagi. Malah, mengikut kaedah pencen pada waktu itu, saya perlu pencen pada tahun 2001 sewaktu saya berumur 55 tahun.

Bagaimanapun, realitinya saya masih bekerja. Setelah pencen pada tahun 2004 saya terus bekerja lagi sebagai profesor kontrak sehingga tahun 2008 di universiti yang sama. Atas cadangan kawan-kawan, saya berpindah ke Universiti Islam Antarabangsa sebaik saja kontrak saya di Universiti Malaya tamat, dan terus berada di situ, samada di kampus utama di Gombak, atau di kampus cawangan di Jalan Duta Kuala Lumpur, ISTAC sehinggalah pada akhir tahun 2016 apabila kontrak saya dengan UIAM tamat. Malah sesudah itu pun, saya terus aktif lagi sehingga ke hari ini, dalam pelbagai bidang sama ada berbayar ataupun secara sukarela.

Dengan kata lain, soal pencen dari kerja atau kerjaya belum berbangkit. Apalagi, gelaran Profesor Emeritus yang dianugerah oleh Universiti Malaya kepada saya sejak tahun 2011 itu memberi erti professor seumur hidup. Selagi saya hidup saya mempunyai pejabat dan beberapa kemudahan lain lagi di universiti tersebut.

Bukan kerana saya merasakan usia saya masih muda, tetapi kerana masih belum mencapai kestabilan yang sepenuhnya. Sampai sekarang saya masih mencari identiti yang sebenar untuk menjadi mercu tanda bagi sedikit sebanyak kejayaan hidup yang saya telah capai sejak dulu sehingga sekarang.

Antara Cita-Cita dan Realiti

Sejak masih di bangku sekolah lagi saya ada tiga cita-cita yang berbeza. Saya mahu jadi seorang ilmuan. Saya juga mahu jadi orang politik. Selain itu saya juga berminat untuk menjadi penulis. Dalam setiap bidang itu saya ada idola tertentu dan ada khayalan yang tersendiri.

Sejak seawal itu saya mula bergiat memenuhi ketiga-tiganya sekaligus. Saya membaca banyak buku dalam banyak bidang dan tajuk. Saya cuba menulis apa saja yang saya suka dan mampu. Saya juga selalu menghadiri ceramah dan syarahan politik untuk memahami persekitaran politik tanah air. Hasil awal yang saya perolehi daripada semua aktiviti tersebut ialah saya mampu menjadi pemidato muda yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai cukup berbakat.

Bagaimanapun saya tidak pernah merasa tertekan untuk melakukan semua itu. Sebaliknya saya sentiasa teruja dan seronok kerananya. Terasa sangat kosongnya hidup ini kalau sehari tidak membaca. Meskipun tulisan-tulisan saya baik dalam bentuk puisi mahupun dalam bentuk prosa tidak pernah tersiar kecuali dalam majalah sekolah tetapi saya merasa puas menulisnya. Di bidang politik pun sama. Saya merasa puas walaupun sekadar menjadi peminat kecil sahaja yang hanya mampu sekadar membaca buku atau berita politik di dada akhbar sahaja. Paling jauh mendengar ceramah politik di rapat-rapat umum yang selalu diadakan oleh parti-parti politik pada waktu itu.

Petunjuk

Namun hari-hari yang berlalu memberi petunjuk yang semakin rumit kepada saya. Mungkin senang untuk menjadi orang kecil dalam banyak perkara secara sekaligus. Tetapi untuk menjadi orang yang lebih besar bukan sesenang itu. Pada suatu peringkat tumpuan kepada politik terpaksa dikurangkan. Kerana bidang keilmuan perlukan perhatian yang lebih sewaktu saya berada di universiti, baik di peringkat ijazah mahupun diperingkat lepas ijazah.

Malah sewaktu saya berada di Mesir mengikuti kursus Sarjana Syariah saya seolah-olah mengambil keputusan untuk memutuskan langsung hubungan dengan cita-cita saya dalam bidang politik. Kerana selain sukar untuk menghimpunkan kedua-dua bidang itu, iaitu akademik dan politik secara serentak dalam kehidupan saya, bidang keilmuan dirasakan amat menarik sekali sampai boleh dikatakan berjaya mematikan selera saya terhadap politik.

Begitupun, sekembali dari Mesir dengan kelayakan sebagai seorang sarjana dalam pengajian Syariah, saya terarah kembali kepada politik. Suasana politik kotor di Mesir yang banyak menyebabkan keburukan sampai bunuh membunuh tidak ada di Malaysia. Meskipun saya bertugas sebagai pensyarah namun saya masih berpeluang bergerak cergas dalam politik. Kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang kemudiannya sangat terkenal itu belum lagi diperkenalkan pada waktu itu.

Malah, lebih kuat tarikannya ialah gesaan para senior di bidang akademik untuk saya sama-sama bergiat bagi tujuan “pembaharuan” dalam parti politik yang saya sokong pada waktu itu. Seorang daripada mentor politik saya pernah menegaskan tentang kepentingan gabungan antara politik dan akademik. Kata beliau, tanpa akademik politik boleh bertukar menjadi pembohongan. Sebaliknya pula, tanpa politik, akademik boleh bertukar menjadi kebodohan. Lalu berasaskan falsafah itu beliau menggagaskan konsep “Politiko-akademik” atau “Akademiko-politik” yang beliau rasakan cukup sempurna.

Malah beliau sendiri bertolak keluar negara untuk belajar selepas sekian lama dalam politik dan sudah kemana-mana di dalamnya. Kata beliau, bukan kerana kecewa tetapi kerana mahu menampung kekurangan dirinya dalam ilmu agar nantinya lebih sempurna untuk kembali aktif dalam politik.

Keterlibatan kembali dalam politik secara lebih serius daripada dahulu menjadikan bidang keilmuan pula terabai. Ditambah pula dengan pengalaman pahit dalam berpolitik yang memberikan saya pandangan baru tentang wajah politik yang sebenar, saya merasakan diri saya benar-benar berada di persimpangan jalan. Saya perlu memilih sama ada untuk menjadi orang politik atau orang ilmu.

Saya lalu memilih untuk menjadi orang ilmu dan guru bangsa, walaupun peluang untuk menjadi orang politik cukup terbuka. Untuk itu saya sekali lagi keluar negara menyambung pelajaran. Pada kali ini ke England pula kerana yakin dengan pandangan seorang professor dari Universiti Malaya tentang kebaikan integrasi ilmu.

Kata beliau, seorang Sarjana Usuluddin baik sekali belajar dalam bidang Antropologi dan Sosiologi, sementara seorang sarjana Syariah pula baik belajar di bidang Undang-Undang. Oleh kerana saya ini Sarjana Syariah, di England saya menulis tesis tentang undang-undang jenayah secara perbandingan di antara undang-undang Inggeris dengan syariah Islam.

Bagaimanapun, untuk berpatah arang dengan minat sendiri yang dikendong begitu lama bukan suatu kerja yang mudah. Dunia politik sebenarnya cukup terkenal untuk dibiarkan begitu sahaja. Di England politik Islam tidak kurang rancaknya berbanding di negara-negara Islam sendiri, terutama pada waktu itu Revolusi Iran sedang marak. Di Malaysia juga banyak peristiwa penting politik berlaku dan cukup menarik untuk diberi perhatian.

Di Persimpangan Jalan

Mujurnya sewaktu saya kembali dari England AUKU sudah diperkenalkan. Soal penggabungan di antara politik dan akademik dalam pelbagai aktiviti yang dilakukan serentak atau hampir serentak tidak boleh berbangkit lagi. Saya memang berada di persimpangan jalan. Bukan sahaja kerana saya sendiri yang meletakkan diri saya di situ, tetapi juga AUKU. Maka dengan dibantu oleh AUKU saya lebih berjaya mendisiplinkan diri supaya lebih bersikap dan bersifat seperti orang ilmu.

Malah sifu politik saya pun, iaitu Ustaz Abu Bakar Hamzah, bekas Setiausaha Agung Parti Islam Semalaysia (PAS) telah memilih jalan ilmu sekembalinya dari belajar di England lebih awal sedikit dari saya. Beliau mula bekerja sebagai pensyarah di Universiti Malaya dan tidak kembali aktif dalam politik sepertimana dicita-citakan olehnya sebelum itu. Mungkin sewaktu di luar negara beliau banyak belajar tentang kelebihan bidang ilmu dari bidang politik. Mungkin juga sebaliknya, apabila saja kembali ke tanah air beliau dapati dirinya dalam politik telah tertinggal jauh ke belakang.

Namun kebiasaan bergaul dengan orang politik menjadikan diri saya merasa sepi tanpanya. Meskipun sudah memilih ilmu sebagai jalan hidup yang tunggal namun kecenderungan untuk bergaul dengan orang politik tidak saya abaikan begitu sahaja. Kebolehan saya berceramah dan berpidato, juga kebolehan menulis sangat membantu saya diterima baik oleh kalangan ini.

Cuma untuk bersikap setia dengan keputusan untuk terus di jalan ilmu saya konsepkan untuk saya sendiri satu pegangan yang berbunyi,

“Politik itu sama seperti api. Terlalu jauh daripadanya anda akan kaku kesejukan. Sebaliknya pula terlalu dekat dengannya anda akan hangus terbakar. Kerana itu bersederhanalah”.

Saya bukan sahaja percaya kepada falsafah ini tetapi juga mengamalkannya untuk diri sendiri.

Sikap terbuka saya dengan politik ini telah meletakkan diri saya sebagai seorang yang berminat dalam politik pada kaca mata orang lain. Suatu perkara biasa sahaja orang mengaitkan saya dengan politik walaupun saya tidak lagi berdaftar sebagai ahli dalam mana-mana pertubuhan seperti itu. Malah juga tidak menjadi penyokong secara aktif.

Namun saya tidak terlepas daripada gosip politik. Apabila menjelang pilihanraya ada-ada saja berita saya mungkin menjadi calon. Benar saya pernah beberapa kali ditawarkan menjadi calon pilihanraya. Tetapi sepertimana saya katakan di atas politik bukan dunia saya yang sebenar.

Agak berbeza dengan dunia penulisan. Dalam bidang ini tidak ada apa-apa yang terlalu sensitif semacam dalam politik. Namun bidangnya luas sekali. Sekurang-kurangnya ia boleh dibahagikan kepada dua; penulisan kreatif dan penulisan ilmiah.

Oleh kerana saya berada di bidang ilmu maka yang lebih saya tumpukan ialah penulisan ilmiah. Namun bidang penulisan ini juga ada masalah. Untuk benar-benar ilmiah tulisan itu tidak akan dibaca kecuali oleh segelintir orang sahaja. Mereka adalah ahli-ahli akademik yang bilangannya sangat sedikit. Malah kalau benar-benar mengikut pengkhususan ia hanya akan dibaca oleh mereka yang berada dalam disiplin itu sahaja.

Penulisan ringan memang digemari oleh masyarakat kita. Ada majalah yang cukup bermutu dan diterbitkan sejak zaman sebelum merdeka lagi pernah bermasalah untuk bersaing dengan majalah bentuk baru zaman lepas merdeka. Apabila konsepnya ditukarkan kepada majalah murahan dengan segala macam sampah sarap di dalamnya ia segera meletup. Saya tidak berminat menulis dalam majalah seperti itu walaupun pernah diberi peluang oleh ketua pengarangnya.

Saya memilih untuk menulis dalam majalah ilmu yang ringan. Namun nilai akademiknya tidak diberi oleh universiti. Maka untuk menampung kekurangan yang diperlukan oleh kerjaya saya sebagai seorang pensyarah saya memilih untuk menulis buku akademik. Bagi faedah pembaca umum saya juga menulis buku separa akademik.

Kerana itu saya telah menulis banyak buku. Meskipun bidang utamanya ialah pengajian Islam namun sub-bidangnya berbagai-bagai. Maka di sini juga saya berhadapan dengan persoalan tentang mercu tanda. Meskipun bidang umum penulisan saya cukup jelas, iaitu pengajian Islam namun pengkhususannya tidak begitu jelas.

Di kalangan mereka yang tergolong dalam bidang pengajian Islam, saya disebut sebagai orang Syariah. Tetapi istilah Syariah itu masih luas. Perbankan Islam kah? Kekeluargaan Islam kah? Perundangan Islam kah? Dan banyak lagi.

Sehubungan dengan ini saya telah menjadi ketua atau anggota sidang pengarang berbagai jurnal dan majalah tanah air dan juga ahli lembaga penasihat beberapa jurnal di dalam dan luar negara.

Mungkin kemuncak daripada itu saya dilantik sebagai ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pengerusi Jawatankuasa Sastera-nya selama lebih kurang enam tahun. Pengerusi Jawatankuasa Sastera? Ahlinya penyajak, dramatis, sasterawan dan segala macam lagi. Namun saya tetap bukan seorang sasterawan dan tidak pernah ada nama dalam senarai berkenaan sejak dulu sampai sekarang.

Menjadi Orang Akademik

Penumpuan saya terhadap bidang akademik telah membawa saya kemana-mana dalam bidang tersebut. Ia bermula dengan perlantikan sebagai seorang pensyarah bidang Syariah di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri sebaik saja kembali dari Mesir pada akhir tahun 1973 dengan memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Fiqh Perbandingan daripada Universiti al-Azhar, dan Diploma Pendidikan lepasan ijazah dalam bidang Bahasa Arab dari Universiti ‘Ain Syams.

Apabila Yayasan yang lebih popular sebagai Nilam Puri itu membuat keputusan untuk bergabung dengan Universiti Malaya, saya dan beberapa orang kawan lain membuat keputusan untuk terus belajar sebagai persiapan untuk menjadi pensyarah di universiti yang berprestasi tinggi itu. Pada kali ini tujuannya ialah England, iaitu di University of Kent. Di situ saya memilih jabatan Pengajian Asia Tenggara dengan mengambil subjek Undang-Undang Perbandingan.

Tujuan asalnya ialah untuk mendapat Ph.D. Bagaimanapun, tesis yang saya tulis hanya melayakkan diri saya untuk mendapat Master of Philosophy, atau M.Phil sahaja. Kata penyelia saya, Prof. M.B.Hooker, kelayakan saya di peringkat sarjana, iaitu Sarjana Syariah dari al-Azhar tidak boleh menjadikan saya layak mendapat Ph.D dalam bidang berkenaan di universiti tersebut. Tiga rakan lain juga, iaitu Fauzi Awang, Sidi Ahmad Abdullah dan Wan Yahya Wan Ahmad yang sama-sama berasal sebagai pensyarah di Nilam Puri menerima nasib yang sama.

Pada waktu itu, Ph.D bukan satu syarat untuk menjadi pensyarah di Universiti. Ada sarjana, iaitu MA sudah cukup. Lagipun kami bukanlah calon pensyarah yang baru hendak dilantik. Sebaliknya pensyarah yang hendak diserapkan dari kedudukan sebelum itu sebagai pensyarah di Nilam Puri.

Tidak lama selepas melaporkan diri di Universiti Malaya sebagai pensyarah di Akademi Islam, saya terus dilantik sebagai Dekan Fakulti Syariah di Akademi berkenaan. Selepas lima tahun sebagai Dekan saya kembali menjadi pensyarah biasa dan mengambil peluang untuk naik pangkat ke Prof. Madya dan memperoleh Ph.D.

Selepas itu, kembali semula menjadi Dekan fakulti berkenaan dan kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Akademi Pengajian Islam apabila struktur Akademi Islam sebelum itu diubah menjadi Akademi Pengajian Islam dengan struktur organisasi yang jauh lebih besar. Saya terus melekat di situ sehinggalah bersara secara rasmi pada tahun 2004 dengan pangkat sebagai seorang profesor.

Selepas bersara saya terus bertugas di Akademi berkenaan selama empat tahun sebelum berpindah ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai seorang professor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh untuk jangka masa selama lapan tahun. Dalam tempoh tersebut saya sempat menjadi Dekan Fakulti Ilmu Wahyu dan Pengajian Kemanusiaan (Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences), dan kemudiannya Dekan Institut Antarabangsa bagi Pemikiran dan Tamadun Islam (International Institute of Islamic Thought and Civilization- ISTAC).

Selepas tamat tempoh di UIAM saya kembali ke Universiti Malaya kerana sebelum itu telah dianugerah oleh universiti itu dengan pangkat sebagai Profesor Emeritus. Bagaimanapun, Profesor Emeritus bukanlah satu jawatan. Ia sebaliknya suatu pangkat yang kekal sampai ke akhir hayat.

Berasaskan pangkat tersebut saya berhak mendapat sedikit sebanyak kemudahan di universiti berkenaan, termasuk sebuah pejabat dan peluang untuk mengadakan program-program akademik baik secara berbayar atau tidak berbayar.

Bagaimana pun saya tidak pernah merasakan telah mendapat kejayaan dalam bidang berkenaan. Berbanding dengan mereka yang cemerlang dalam bidang masing-masing saya merasakan sumbangan saya dalam bidang akademik tidak seberapa, dan tidak boleh dijadikan sebagai mercu tanda kehidupan saya.

Kewangan Islam

Kemudian saya terlibat pula dengan kewangan Islam. Pada mulanya saya menjadi pengerusi jawatankuasa penasihat Syariah di sebuah bank yang terkemuka di Malaysia, iaitu Public Bank. Itu adalah perkara biasa, kerana ramai daripada rakan-rakan yang mempunyai latar belakng akademik yang sama terlibat dalam hal seperti itu, samada sebagai pengerusi ataupun sebagai ahli biasa.

Walaubagaimanapun beberapa tahun selepas itu saya dilantik pula oleh bank yang sama untuk menjadi salah seorang ahli lembaga pangarah (Board Committee) yang melihat dari segi kepatuhan Syariah bagi produk yang ditawarkan oleh unit perbankan Islam (Islamic Window).

Tidak lama selepas itu saya diberi kepercayaan lagi oleh bank berkenaan untuk menjadi salah seorang ahli dalam jawatankuasa audit (Audit Committee). Kata seorang pegawai bank berkenaan mengulas perlantikan saya sebagai ahli jawatankuasa audit, "Sekarang Dato’ tidak lagi berada di satu sudut dalam bank ini. Sebaliknya Dato’ sudah berada di tengah-tengahnya." Saya hanya menjawab, "Entahlah."

Kemudian, apabila unit perbankan Islam, atau "Islamic window" berkenaan ditingkatkan menjadi sebuah anak syarikat sepenuhnya (subsidary) saya diberi peluang setapak lagi apabila dilantik dalam jawatankuasa pengurusan risiko (Risk management Committee) bagi perbankan berkenaan, dan kemudiannya Jawatankuasa Pemilihan (Nomination Committee), malah seterusnya Jawatankuasa Gaji dan Upah (Remuniration Committee).

Dengan itu saya telah menganggotai semua jawatankuasa yang ada di bawah lembaga pengarah berkenaan, yang juga bererti dalam hampir semua jawatankuasa penasihat urusan perbankan di bank berkenaan.

Walaubagaimanapun saya tidak pernah merasakan atau menganggap saya sebagai seorang ahli perbankan. Kerana saya merasakan belum mahir dalam selok belok perbankan Islam walaupun berada dalam kedudukan seperti itu selama sembilan tahun, iaitu tempoh maksimum seseorang diperbolehkan oleh Bank Negara menjadi ahli lembaga bukan eksekutif bagi mana-mana bank di negara ini, setakat yang saya tahu.

Ketebalan perasaan saya dalam berpegang kepada pandangan berkenaan sampai kepada peringkat saya berpendapat bahawa untuk menjadikan seorang ahli dalam perbankan sebagai seorang pegawai kewangan yang mahir dalam perbankan Islam jauh lebih mudah daripada menjadikan orang Syariah seperti saya sebagai ahli perbankan (banker).

Pandangan seperti ini saya sebut di mana-mana termasuk sewaktu saya dilantik selama enam bulan sebagai seorang felo di International Shari’ah Research Academy For Islamic Finance (ISRA), iaitu sebuah badan penyelidikan perbankan dan kewangan Islam di bawah Bank Negara Malaysia. Sebelum itu saya pernah dilantik sebagai salah seorang ahli Majlis Pakar (ISRA Council of Scholars) kepada institusi tersebut.

Apabila bank berkenaan secara berkongsi dengan sebuah syarikat insurans yang terkemuka di tanah air menubuhkan sebuah syarikat Takaful, saya diberi satu lagi tanggungjawab baru, iaitu menjadi pengerusi Jawatankuasa Syariahnya.

Di samping itu saya juga menjadi penasihat syariah kepada berbagai institusi kewangan Islam yang lain, termasuk dua jawatankuasa di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan BIMB Securities, yang bermula sebagai ahli dan kemudian menjadi pengerusi. Malah juga dilantik sebagai salah seorang pemegang amanah bagi sebuah yayasan pembangunan ekonomi Islam di negara ini, iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Semua kedudukan ini membuka peluang kepada saya untuk menjadi seorang ahli kewangan Islam yang berkedudukan tinggi memandangkan saya mempunyai latar belakang akademik yang cukup di bidang itu. Begitupun, realitinya saya bukanlah pemain utama dalam gelanggang tersebut. Lebih layak kalau disifatkan hanya sebagai pemain tamu atau pinggiran sahaja.

Hak Asasi Manusia

Dalam pada itu saya juga pernah dilantik menjadi salah seorang Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) selama dua penggal, iaitu enam tahun. Tempoh selama itu merupakan tempoh maksima bagi seseorang dibenarkan kekal sebagai seorang pesuruhjaya.

Bagi saya sendiri, perlantikan tersebut agak janggal sedikit. Kerana pada saat penubuhan suruhanjaya tersebut lebih kurang sepuluh tahun sebelum itu saya terlibat dengan beberapa orang kawan berkempen keseluruh negara menentang penubuhan suruhanjaya berkenaan dalam bentuk yang diura-urakan. Bagi kami, ia tidak mengambil kira pandangan Islam dalam bidang berkenaan.

Meskipun saya sudah merasakan terlalu sibuk dengan kerja-kerja yang ada tetapi saya terpaksa menerima juga perlantikan itu demi menghargai kepercaaan pihak yang melantik. Khabarnya perlantikan itu telah melalui pelbagai peringkat penapisan. Malah jawatan berkenaan khabarnya menjadi rebutan pelbagai pihak yang berkepentingan sehingga hampir melahirkan kekecohan.

Menarik untuk diceritakan bahawa saya mula mengetahui tentang perlantikan saya itu melalui sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang menyiarkan berita tentang perebutan jawatan berkenaan diantara beberapa kalangan kerana konon terdapat pelbagai kepentingan politik di dalamnya.

Saya pada waktu itu merupakan seorang Professor Syariah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (Reveal Knowledge and Human Sciences) Universiti Islam Antarabangsa. Sewaktu saya membaca berita tersebut saya sedang menginap di sebuah hotel di Putrajaya kerana terlibat dengan kerja pengauditan sebuah universiti di Cyberjaya.

Melalui suruhanjaya ini saya banyak terdedah kepada persoalan-persoalan tentang hak asasi manusia dan banyak bergaul dengan para pejuang dan pendokong mereka. Selain dari ikut serta dalam kegiatan umum suruhanjaya berkenaan saya juga ditugaskan untuk mengepalai satu kumpulan kerja berkait dengan pendidikan dan latihan sebagai pengurus..

Meskipun rasa terbeban dengan keja-kerja berkenaan tetapi saya dapat merasai keseronokan melakukannya. Sekurang-kurangnya dengan kerja-kerja itu saya dapat bertemu dengan lapisan bawah masyarakat seperti orang kampung, orang kurang upaya (OKU) malah termasuk orang asli, bagi melihat persoalan tentang pendidikan mereka.

Selain itu saya juga boleh berhubung dengan orang-orang politik bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, baik di peringkat rendah mahupun di peringkat tinggi. Dengan kata lain saya mempunyai peluang yang cukup terbuka untuk menjadi seorang pejuang hak asasi manusia di negara ini. Namun, pada hakikatnya hal seperti itu tidak pernah terjadi

Di akhir-akhir ini saya terlibat pula dengan gerakan dakwah. Sebelum saya betul-betul pencen daripada jawatan rasmi pada tahun 2016 saya telah menubuhkan satu gerakan dakwah yang dikenali sebagai Majlis Dakwah Negara (MDN). Walaupun badan ini cepat popular kerana mendapat sokongan ramai golongan menengah Islam di negara ini, namun saya tidak muncul sebagai seorang pendakwah yang ada nama. Malah saya mengaku, MDN sebagai satu pertubuhan jauh lebih popular daripada diri saya yang menjadi pengerusi dan pengasasnya.

Saya tidak merasa hairan terhadap gejala berkenaan. Kerana sejak dari dulu lagi saya terlibat dalam bidang ini. Paling aktif adalah sebagai penceramah agama. Sampai pada suatu ketika saya lebih dikenali sebagai penceramah agama daripada sebagai seorang pensyarah, malah kemudiannya sebagai professor. Namun saya tidak sampai menjadi selebriti, sama seperti beberapa orang bekas pelajar saya di universiti.

Kata orang syarahan saya tidak begitu diminati oleh akar umbi. Kerana cara penyampaian dan isinya agak ilmiah. Saya mengakui perkara ini. Selalu saya katakan kepada kawan-kawan, untuk berucap tentang Islam di hadapan 100 orang profesor dalam pelbagai bidang ilmu tidak menjadi masalah kepada saya. Tetapi untuk berceramah di hadapan 40 orang jemaah di surau atau masjid merupakan suatu tugas yang sangat berat untuk dipikul.

Kurang Pasti

Dengan segala aktiviti ini saya terpaksa membuat banyak perkara. Kadang-kadang saya menjadi kurang pasti apakah tugas atau tanggungjawab saya yang paling utama. Malah sebagai apa saya patut dikenali oleh masyarakat.

Pernah apabila saya diperkenalkan oleh pengerusi majlis seminar atau forum sebagai seorang selebriti televisyen yang terkenal saya terus menyatakan rasa terkilan saya kepada majlis berkenaan. Saya katakan sedih sekali kerana saya diperkenalkan sebagai selebriti televisyen. Kerana saya sepatutnya dikenali sebagai profesor.

Meskipun saya suka dan teruja melakukan semuanya itu tetapi saya tidak begitu pasti saya ini siapa. Sampai sekarang saya masih mencari-cari identiti saya sendiri.

Entah sampai bila.


Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid

Petaling Jaya

------------

Untuk dapatkan buku ini, lihat di sini.