Student Union: Generasi Baharu Gerakan Mahasiswa

23/07/2020
by IB Balai ILHAM .

Sekitar lima puluh tahun yang lalu, dunia pernah mencerminkan apa yang dilihat dan dialami pada hari ini. Suatu “pemberontakan” yang melibatkan mahasiswa pernah berlaku di Paris dan Prague di mana mereka menyuarakan ketidakpuasan hati. Di rantau Asia pula, perang Vietnam oleh Amerika Syarikat dan sekutunya berterusan selama beberapa tahun. Sekali lagi, mahasiswa berada di barisan hadapan menentang serangan yang tidak adil ke atas sebuah negara yang berjuang untuk dibebaskan itu. Keresahan turut berlaku di tempat-tempat lain, menjadikan kekacauan tersebar ke seluruh penjuru dunia.

Pada hari ini, Paris masih tidak lekang daripada rusuhan di jalanan. Zaman ini turut menyaksikan protes rakyat Hong Kong yang juga tidak berpuas hati dengan kerajaan mereka. Terdapat beberapa perang lain yang meletus, antaranya telah menelan sebahagian Asia Barat, melukai Syria, Iraq, dan Yaman. Baru-baru ini, mahasiswa bangkit melawan Citizen Amendments Act (CAA) yang diperkenalkan oleh kerajaan India. Meskipun begitu, jika dibandingkan dengan masa dahulu, perbezaan yang ketara terlihat pada keparahan dan kerumitan situasi pada hari ini, ia sesuatu yang tiada bandingnya sepanjang separuh abad mutakhir ini.

Malaysia juga mempunyai ceritanya yang tersendiri untuk dikongsi. Sekitar empat puluh sembilan tahun yang lalu menandakan satu titik perubahan bagi sektor pendidikan tinggi tempatan. Lebih tepat lagi, 4 Disember menandakan titik hitam dalam sejarah pendidikan kerana tarikh ini dikaitkan dengan Akta Universiti dan Kolej Univesiti (AUKU) 1971. AUKU telah diperketatkan untuk mengekang aktivisme mahasiswa ekoran insiden Baling pada Disember 1974, di mana ribuan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kaum menjalankan demonstrasi di Baling, Kedah untuk menunjukkan solidariti bersama penoreh getah yang sengsara mencari rezeki apabila harga getah jatuh menjunam. Perkara ini membawa kepada pengakhiran kesatuan mahasiswa di kampus bila mana entiti tersebut digantikan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pasca-1975, pindaan dilakukan bukan sahaja ke atas AUKU tetapi juga ke atas undang-undang lain untuk melumpuhkan pergerakan mahasiswa. Pada 1996, kesannya semakin ketara. Ketua Pembangkang pada masa itu menggelarnya halangan terbesar kepada negara Malaysia dalam melahirkan para intelektual dan figura-figura akademik berkelas dunia. Perdana Menteri ketika itu juga menyatakan kekesalannya atas kehilangan semangat penerokaan dalam kalangan mahasiswa, ahli akademik, dan para intelektual di Malaysia. Beliau tertanya-tanya ke mana perginya semangat itu dan tidak menyedari akan impak besar AUKU yang mencipta budaya dan mentaliti “patuh”, serta membenihkan ketakutan dan juga ketidakpercayaan. Perkara ini adalah punca isu tersebut yang masih wujud dan ia telah menjadi lebih parah sehinggakan dunia akademia semakin kehilangan identitinya yang murni.

Pada hari ini, kesatuan mahasiswa dibangunkan semula di Malaysia, selepas dilancarkan oleh mantan Menteri Pendidikan sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum. Keberhasilannya merupakan persoalannya yang masih terus berlegar. Antara persoalan-persoalan genting yang perlu dijawab adalah sama ada semangat penerokaan yang hilang dalam kalangan mahasiswa, intelektual dan ahli akademik akan kembali dan sama ada budaya “patuh” ini akan dipecahkan. Adakah aspek-aspek ini akan kembali sama seperti hari-hari sebelum AUKU mencengkam dunia kampus yang mana sebelum ini syurga nilai intelektual dan keberanian?

Walaupun Univeristi Malaya (UM) masih berada dalam peringkat awal sebagai universiti tertua di negara ini, UM mampu memainkan peranan sebagai universiti contoh dalam konteks institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab, disokong oleh badan mahasiswanya. Bercakap tentang universiti kedua tertua di Malaysia, Universti Pulau Pinang (kemudiannya dikenali sebagai Universiti Sains Malaysia (USM)) ditubuhkan di luar Kuala Lumpur pada 1969. Universiti-universiti ini telah memenuhi jangkaan dan harapan penubuhannya pada tahap yang dibanggakan kerana budaya akademik mendahului kepentingan-kepentingan lain seperti kepentingan partisan dan kepentingan urus niaga yang sempit. Institusi-institusi ini dipandang tinggi di peringkat global meskipun frasa-frasa seperti “kelas dunia”, “kedudukan”, dan “budaya korporat” bukan sahaja jarang didengari pada masa itu, bahkan dikira asing, kalau bukan merupakan sebuah penghinaan kepada sebab kewujudan sebenar universiti. Tambahan pula, universiti dahulu merupakan pelindung kepentingan awam yang padu.

Uniknya bagi USM, sebagai satu-satunya universiti di negara ini yang mendapat pengiktirafan “Accelerated Programme for Excellence” (APEX), telah menjuarai model parlimen mahasiswa pertama di Malaysia, demi menegakkan agenda autonomi dan kebebasan akademik yang berakauntabiliti.

Dalam hal ini, salah satu definisi yang terbaik dan paling komprehensif bagi “universiti” dilakarkan di World University Presidents Summit pada 19 Julai hingga 23 Julai 2006, yang dihadiri oleh 1600 peserta termasuk lebih daripada 245 presiden universiti daripada 85 negara. Dinamakan “ Bangkok Declaration on Higher Education: Diversity and Harmonisation ” deklarasi ini menyarankan:

Universities must strive to be above politics and business interests and serve their societies and communities by providing a voice and space in which to cultivate rational, mutual and moderate dialogues that will shape intellectual, cultural and economic development on a shared basis within and across boundaries and nations .”

Kesimpulannya, melainkan konsep universiti difahami dengan betul dan dihormati dengan sewajarnya, agak sukar untuk dibayangkan bagaimana mahasiswa akan bertindak jika platform yang disediakan oleh sesebuah institusi adalah kurang daripada apa yang diharapkan daripada aspirasi mahasiswa dalam konteks kesatuan.

Hal ini bermakna, universiti-universiti di Malaysia mesti berdasarkan sejarah tradisi akademik dan intelektual mengangkat identiti yang bertunjangkan ilmu, di mana mahasiswa dan staf universiti mendekatkan diri mereka dengan warga masyarakat dan mereka perlu bertindak sebagai sumber inspirasi dalam bersama-sama mencipta masa hadapan yang lebih baik, lebih berani, dan penyayang. Sesungguhnya, ada hikmah dalam perkara tersebut yang mana setiap entiti akan mula belajar dan menghargainya. Apabila masyarakat diketepikan oleh universiti yang merupakan pusat ilmu, maka hikmah masih berada di luar jangkauan kita pendidikan tanpa roh.

Oleh itu, saya berharap, buku ini akan menutup jurang sedia ada, dan masyarakat mahasiswa khususnya akan memimpin ke hadapan dengan kematangan dan kebijaksanaan. Tahniah kepada Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) UIAM kerana mengusahakan buku ini sebagai panduan dalam memupuk aktivisme mahasiswa yang bertanggungjawab, demi memperhalusi masa hadapan yang diiniginkan sambil menyebarkan rahmat kepada semua rahmatan lil alamin dengan menginsankan pendidikan.

PROFESOR EMERITUS TAN SRI DATO DZULKIFLI ABDUL RAZAK
REKTOR UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

Buku ini boleh didapati di sini

.